* Selamat Datang * أهلاً وسهلاً * Welcome * 欢迎 * வண‌க்கம் * स्वागत *

Editorial Message

Dreaming about the FUTURE without anatomizing the PAST and properly managing the PRESENT is an act of IGNIS FATUUS
~ Abu Imtiaz Ibnu Zahri

Tuesday, March 02, 2010

Makcik Penjual Kuih dan Mental Arithmetik


Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Tuhan yang mencipta manusia yang pelbagai rupa dan sifat serta mempunyai variasi kebolehan dan kekurangan. DIA jugalah yang menciptakan kekurangan sebagai kelebihan dan kelebihan sebagai kekurangan. Maka dengan nikmat yang manakah yang tidak kita syukuri?

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, manusia biasa yang dipilih ALLAH dan diberikan kelebihan dan ketinggian darjat atas segala manusia. Manusia biasa yang dipilih dari segala sudut, baik keturunannya mahupun sifat kelakuannya bagi menyampaikan risalah ketuhanan dan keesaan ALLAH. Manusia biasa yang makan dan minum, tidur dan bangun, lapar dan dahaga serta ingat dan lupa... Maka sunnah yang manakah yang tidak mampu kita ikuti?
 
Makcik Penjual Kuih
Masih teringat suatu ketika di Felda Selancar 1, Rompin, Pahang. Saban pagi, kelihatan kelibat seorang makcik tua bersama anak gadisnya menjunjung talam kuih sambil menaiki motorsikal mengelilingi seluruh pelusuk kampung, mengerah saki baki kederat yang bersisa bagi mencari rezeki yang halal. Kerap juga saya membeli makanan yang dijual mereka.

Pernah suatu hari, saya membeli sebungkus nasi lemak berharga RM0.50 dan empat biji kuih yang berharga RM0.30 setiap satu (maklumlah, bujang terlajak yang tinggal keseorangan ketika itu). Oleh kerana sebab tiada wang kecil, saya menghulurkan sekeping not RM5 kepada beliau. Seketika kelihatan makcik yang digelar Mak Su itu termenung kecil manakala anak gadisnya yang tadi sabar menunggu di atas motorsikal sedikit mengerutkan dahi.

Walaupun agak perlahan, telinga saya dapat juga menangkap butir kata Mak Su mengira wang baki yang perlu dipulangkannya. Bermula dengan menggenapkan wang-wang kecil kepada ringgit yang terhampir lalu dihitung satu persatu untuk menggenapkannya kepada RM5. Wang yang digenapkan itulah yang dihulurkan kepada saya. Sambil tersenyum beliau bertanya saya sama ada wang yang dihulurkan itu cukup atau tidak. Akur dengan kecekapan Mak Su mencongak, saya menganggukkan sahaja.

Tiba-tiba saja saya teringat kepada arwah nenek saya (al-fatihah) yang lebih burumur daripada Mak Su (juga terkenal dengan nama yang sama). Pernah juga saya mendengar kaedah mengira yang sebegitu daripada mulutnya. Bukan sahaja pengiraan menambah dan menolak, malah pengiraan mendarab dan membahagi pun agak janggal pada telinga saya tetapi lebih efisien dan mudah. Tidak terlintas di fikiran saya ingin bertanya Mak Su tentang taraf pelajarannya dahulu tetapi arwah nenek saya tentunya tidak pernah bersekolah secara normal.

Dahulu saya hanya tersenyum apabila mendengar kaedah pengiraan yang sebegitu. Dalam tidak sedar, mereka (nenek saya, Mak Su dan warga yang seperti mereka) lebih kompeten daripada anak-anak kita dalam mengira malah mungkin lebih kompeten daripada kita sendiri yang belajar ke seluruh pelusuk dunia namun belum juga pandai ini.

Idiosinkratik dan Mental Arithmetik
Kaedah yang digunakan oleh Mak Su itu adalah sebahagian daripada kaedah mental arithmetik. Apa yang lebih menarik adalah Mak Su didapati memiliki keupayaan idiosinkratik. Idiosinkratik adalah kebolehan beradaptasi dan mencetuskan tindak balas unik apabila berhadapan dengan sesuatu rangsangan. Dalam bidang perubatan, idiosinkratik selalunya dikaitkan dengan tindak balas unik individu terhadap dadah. Dalam pendidikan pula istilah tersebut dipinjam untuk menerangkan ciri-ciri seseorang yang dapat mencipta sendiri kaedah penyelesaian dengan beradaptasi dengan masalah dalam situasi yang berbeza-beza.

Dalam kes ini Mak Su tidak menghafal atau melaksanakan kaedah pengiraan yang sama setiap masa tetapi kaedah pengiraannya berubah-ubah mengikut keperluan dan bertujuan memudahkan masalah yang dihadapi. Kadangkala Mak Su menggunakan kaedah counting on seperti yang saya ceritakan tadi. Kadangkala kaedah mengumpul (grouping) pula yang digunakan. Lebih mengkagumkan, kadangkala Mak Su menggunakan kaedah anggaran (estimation) terutama bagi pengiraan yang melibatkan penambahan berulang (pendaraban).

Anak-anak kita juga belajar estimation (anggaran) akan tetapi teknik penganggaran yangb  digunakan lebih bersifat akademik dan berasaskan formula semata-mata sehinggakan tidak dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Malah, untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan pun anak-anak kita 'menggagau'  seolah-olah berada dalam kegelapan. Kenapa? Silibus kita hanya mengajarkan menganggar untuk menggenapkan kepada nilai tempat yang terdekat sedangkan yang lebih penting adalah apa yang perlu dilakukan untuk menggenapkan. Sebagai contoh, perhatikan contoh dibawah.  


1263 x 14 = ? Anggarkan jawapannya.



Jawapan yang biasa diberikan adalah:
 1300
x 10 = 13000 ATAU 

1260 x 10 =12600  ATAU
Antara 13000(drpd 1300x10) hingga 26000 (drpd 1300x20) ATAU
Antara 12000(drpd 1200x10) hingga 26000 (drpd 1300x20)
iaitu mengikut kaedah estimation (pembundaran) yang diajarkan di sekolah (dengan membundar 1260 dan 14). Sedangkan jawapan yang lebih hampir adalah  
1250 x 15 = 18750 ATAU 1200 x 15 = 18000
iaitu dengan kaedah balanced round off (pembundaran adil)... Didapati jawapan sebenarnya adalah 17682. Bukankah jauh berbeza antara jawapan yang anak-anak kita dapati dengan yang sebenarnya? Bagi menerangkan idiosinkratik pula, lihatlah contoh di bawah.

14 + 19 = ?

Rata-rata anak-anak kita akan terus menambah secara formal iaitu menambahkan mengikut nilai tempatnya (9+4 dan kemudian 1+1). Individu yang idiosinkratik akan menggunakan kaedah yang lain. Antaranya adalah:-

1) 14 + 20 - 1
2) 15 + 20 - 2
3) 14 + 6 + 13
4) 14 + 16 + 3
5) 14 + 1 + 15 + 3
6) 14 + 14 + 2 + 3
  dan lain-lain lagi.

Individu yang sebeginilah yang dicerminkan oleh Mak Su. Individu yang sebegini jugalah yang akan mampu menghakmilikkan matematik iaitu menjadikan matematik sebagai kaedah menyelesaikan masalah kehidupan.