* Selamat Datang * أهلاً وسهلاً * Welcome * 欢迎 * வண‌க்கம் * स्वागत *

Editorial Message

Dreaming about the FUTURE without anatomizing the PAST and properly managing the PRESENT is an act of IGNIS FATUUS
~ Abu Imtiaz Ibnu Zahri
Showing posts with label pedoman. Show all posts
Showing posts with label pedoman. Show all posts

Tuesday, November 09, 2010

Penjenamaan Semula

Assalamualaikum..
Laman blog ini dijenamakan semula dengan nama PONDOK TSAQOFI yang berasal daripada kata adjectif dalam bahasa Arab ثقافي yang bermaksud Pendidikan atau Kebudayaan... Justeru PONDOK TSAQOFI bermaksud PONDOK PENDIDIKAN atau EDUCATIONAL HUT dalam Bahasa Inggeris... Mudah-mudahan penjenamaan ini memberi lebih manafaat kepada semua termasuk diri hamba sendiri...
Allahu 'Alam...



Saturday, February 06, 2010

Indahnya Pantun Tradisional Melayu...

Apakah pantun?


            Pantun adalah sejenis seni puisi Melayu yang sangat unik dan indah. Pantun adalah serangkap puisi yang mempunyai dua bahagian tidak mengira sama ada pantun tersebut adalah pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat atau sebagainya... Bahagian pertama pantun adalah bahagian pembayang maksud manakala bahagian kedua pantun adalah bahagian maksudnya... Kedua-dua bahagian terbahagi dengan kadar yang sama dalam sesebuah pantun... Sebagai contoh, pantun DUA KERAT mempunyai SEBARIS (dipanggil sekerat) pembayang maksud dan SEBARIS maksud manakala pantun EMPAT KERAT mempunyai DUA BARIS (dipanggil dua kerat) pembayang maksud dan DUA BARIS maksud... Contoh di bawah diambil bagi menerangkan perihal baris tersebut...


Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.



Dua baris pertama (berwarna merah jambu) adalah pembayang maksud manakala dua baris kedua (berwarna kuning) adalah maksud pantun...

            Pantun boleh dikenalpasti melalui sifatnya yang unik iaitu penghujung barisnya disusun dalam keadaan dalam bentuk "A, B, A, B" iaitu bunyi suku kata akhir baris pertama pembayang maksud adalah sama atau hampir sama dengan bunyi baris pertama maksud DAN bunyi suku kata terakhir baris kedua pembayang maksud adalah sama atau hampir sama dengan bunyi suku kata terakhir baris kedua maksud... Sebagai contoh, kita ambil contoh tadi sekali lagi...
Buah cempedak di luar pagar,   (A)
Ambil galah tolong jolokkan,    (B)
Saya budak baru belajar,          (A)
Kalau salah tolong tunjukkan(B)

Dalam contoh ini, bunyi suku kata terakhir baris pertama pembayang maksud (gar) hampir sama dengan bunyi suku kata terakhir maksud (jar). Bunyi suku kata terakhir baris kedua pembayang maksud pula (kan) sama dengan bunyi suku kata terakhir baris kedua maksud (kan)... Apabila disusun mengikut urutan, maka dapat disimpulkan atau diformulakan sifat pantun iaitu mempunyai suku kata terakhir setiap baris dalam bentuk "A, B, A, B"... Namun begitu, sebuah pantun enam kerat pula mempunyai susunan "A, B, C, A, B, C" iaitu bunyi setiap suku kata terakhir setiap baris dalam pembayang maksud adalah sama atau hampir sama dengan bunyi suku kata terakhir dalam baris yang setara dalam bahagian maksud pantun... 

         Jika ada yang bertanya kenapa bunyi yang perlu sama atau hampir sama, jawapannya adalah kerana pantun digunakan pada masa lampau sebagai bahasa pertuturan terlebih dahulu daripada bahasa penulisan... Maka bunyinya perlu lebih ditekankan...

Pantun yang baik

Sesebuah pantun yang baik biasanya mempunyai beberapa syarat
a) lapan hingga dua belas suku kata 
b) empat hingga enam kata dalam setiap baris... 
c) Baris pertama pembayang maksud berkaitan dengan baris kedua pembayang maksud...maksud 

Contohnya...

Buah cempedak di luar pagar~ 10 suku kata, 5 kata
Ambil galah tolong jolokkan,  
~ 9 suku kata, 4 kata
Saya budak baru belajar,        
~ 9 suku kata, 4 kata
Kalau salah tolong tunjukkan.
~ 9 suku kata, 4 kata

Air dalam semakin dalam,                  ~ 9 suku kata, 4 kata
Hujan di hulu belum lagi teduh,         ~ 11 suku kata, 6 kata
Hati dendam bertambah dendam,      ~ 9 suku kata, 4 kata
Dendam dahulu belum lagi sembuh.  ~ 11 suku kata, 5 kata


Sebagai tambahan, daripada penelitian saya, pantun-pantun Melayu lama juga tidak sekadar memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan tadi malah mempunyai satu sifat yang lebih indah lagi iaitu setiap baris pantun mempunyai 'dua nafas' (saya namakan sendiri demikian kerana biasanya dibacakan dalam nada yang dihentikan seketika)... Contohnya:

Buah cempedak di luar pagar, 
Ambil galah tolong jolokkan,  
Saya budak baru belajar,   
Kalau salah tolong tunjukkan.

Dalam pantun ini, baris pertama kedua-dua nafas itu adalah "buah cempedak" dan "di luar pagar" manakala dalam baris kedua, "ambil galah" dan "tolong jolokkan"... corak yang sama dapat dilihat dalam semua pantun... Sebagai tambahan, kita ambil pantun ini sekali lagi...


Air dalam semakin dalam,
Hujan di hulu belum lagi teduh,
Hati dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belum lagi sembuh.

Apa yang lebih menarik, saya juga mendapati bahawa dalam pantun-pantun lama,setiap nafas juga mempunyai sajak atau corak "A, B, A, B". Sebagai contoh, saya sertakan sekali lagi pantun-pantun contoh tadi dan beberapa pantun lama yang lain bagi membuktikan penelitian saya... Saya akan tebalkan nafas yang pertama dan tandakan hujung-hujung suku kata nafas pertama dan kedua setiap baris bagi menyerlahkan corak sajaknya iaitu "A, B, A, B".

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan,  
Saya budak baru belajar,   
Kalau salah tolong tunjukkan

Air dalam semakin dalam,
Hujan di hulu belum lagi teduh,
Hati dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belum lagi sembuh.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah hamba menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita berjumpa lagi.

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan di simpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Dua tiga kucing berlari,
Mana kan sama si kucing belang,
Dua tiga boleh kucari,
Mana kan sama tuan seorang.

Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana sumbunya
Hilang ghaib kusangka mati
Kalau mati mana kuburnya.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Berdasarkan kepada penelitian inilah saya tuliskan pantun-pantun yang saya letakkkan dalam blog saya yang lepas... Barangkali para ilmuan dalam sastera dan bahasa Melayu boleh meneliti dan membuat ulasan terhadap penelitian saya dan pantun-pantun yang saya nukilkan... 

Secara ringkasnya, bagi saya pantun yang baik mempunyai satu lagi syarat iaitu mempunyai "nafas-nafas" yang  memenuhi sajak "A, B, A, B" selain syarat-syarat yang telah dinyatakan oleh ramai pakar-pakar sastera lama... Lebih-lebih lagi apa yang sentiasa disampaikan oleh guru-guru bahasa Melayu di dalam kelas...

Thursday, February 04, 2010

Pantun Buat Anak Didikku

Pantun ini adalah pantun yang dicipta untuk menceritakan pengalaman semasa berada di zaman persekolahan dahulu sebagai pedoman kepada anak-anak didikku.

Keris Damak keris berseni
Seni tampak si emas putih
Dengarlah anak kisahku ini
Jadikan tapak tempat bertatih

Pencak Tuah pencak laksamana
Pencak Jebat selaku pembela
Dahi basah lutut entah ke mana
Melihat kelibat di balik jendela

Anak serindit terbang berkawan
Singgah berehat di rumpun kayu
Serak dan sakit bukan halangan
Suaranya kuat memarah aku

Buah langsat masak menguning
Habis dikebas anak si nyonya
Berkening lebat misai melenting
Sekali dilibas hilanglah nyawa

Anak kelicap ditelan sawa
Sawa meniti menyusur ladang
Kerja tak siap buku tak bawa
Junjunglah kerusi di tengah padang

Kurung bertanda pakaian Hang Li Po
Bersama Hang Nadim asyik menyanyi
Guru tiada akulah sang romeo
Guru berdehem aku pun sembunyi

Ketupat palas di dalam belanga
Daging rendang pembuka selera
Di dalam kelas engkaulah sang singa
Di tengah padang engkaulah saudara

Buah labu dimakan kambing
Labu baru masak sesuku
Ketika ibu tiada di samping
Tanganmu guru menyuap aku

Anak badak terkena peluru
Peluru batu bucu berseni
Jikalau tidak keranamu guru
Tidaklah aku berada di sini

Cindai lama kainnya licin
Dilipat kemas di hujung almari
Guru berjasa umpama lilin
Biarpun panas membakar diri

Kalau mengajar anak kedidi
Biarkan makan si buah langsat
Guru mengajar membentuk budi
Agar perjalanan tidak tersesat

Kalau ke laut susur gelombang
Jangan kemudi patah hulunya
Usahlah menyahut umpama kompang
Kuat berbunyi tiada isinya

Kuatnya guruh membelah awan
Bunyinya dekat di samping aku
Kalau disuruh usahlah melawan
Semoga berkat segala ilmu

Sungguh ayu anak Pak Manan
Matanya galak menjeling manja
Segala ilmu perlulah diamalkan
Barulah anak dipandang mulia

Awan bergulung di senja hari
Hitamnya jelas tanda nak hujan
Gurulah gunung gurulah mentari
Berkhidmat ikhlas membentuk insan

Berdendang unggas di hati hutan
Jalan direntas jangan berliku
Dilambung emas bertatahkan intan
Belum terbalas jasanya guru

Sirih junjung di dalam gagang
Gagang disimpan di atas para
Agama dijunjung adat ditatang
Akhlak mampan maruah terpelihara

Cincin suasa penghias diri
Cincin berseni hilang di laman

Sampailah masa mengundur diri
Pesananku ini jadikan pedoman

Air embun menitis di dahan
Jatuh ke atap tumpah merata
Jari disusun mohon kemaafan
Andai tersilap tutur dan kata


~ Ibnu Zahr, Mei 2007
  Sempena hari Guru SK Selancar 1