* Selamat Datang * أهلاً وسهلاً * Welcome * 欢迎 * வண‌க்கம் * स्वागत *

Editorial Message

Dreaming about the FUTURE without anatomizing the PAST and properly managing the PRESENT is an act of IGNIS FATUUS
~ Abu Imtiaz Ibnu Zahri

Tuesday, March 02, 2010

Makcik Penjual Kuih dan Mental Arithmetik


Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Tuhan yang mencipta manusia yang pelbagai rupa dan sifat serta mempunyai variasi kebolehan dan kekurangan. DIA jugalah yang menciptakan kekurangan sebagai kelebihan dan kelebihan sebagai kekurangan. Maka dengan nikmat yang manakah yang tidak kita syukuri?

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, manusia biasa yang dipilih ALLAH dan diberikan kelebihan dan ketinggian darjat atas segala manusia. Manusia biasa yang dipilih dari segala sudut, baik keturunannya mahupun sifat kelakuannya bagi menyampaikan risalah ketuhanan dan keesaan ALLAH. Manusia biasa yang makan dan minum, tidur dan bangun, lapar dan dahaga serta ingat dan lupa... Maka sunnah yang manakah yang tidak mampu kita ikuti?
 
Makcik Penjual Kuih
Masih teringat suatu ketika di Felda Selancar 1, Rompin, Pahang. Saban pagi, kelihatan kelibat seorang makcik tua bersama anak gadisnya menjunjung talam kuih sambil menaiki motorsikal mengelilingi seluruh pelusuk kampung, mengerah saki baki kederat yang bersisa bagi mencari rezeki yang halal. Kerap juga saya membeli makanan yang dijual mereka.

Pernah suatu hari, saya membeli sebungkus nasi lemak berharga RM0.50 dan empat biji kuih yang berharga RM0.30 setiap satu (maklumlah, bujang terlajak yang tinggal keseorangan ketika itu). Oleh kerana sebab tiada wang kecil, saya menghulurkan sekeping not RM5 kepada beliau. Seketika kelihatan makcik yang digelar Mak Su itu termenung kecil manakala anak gadisnya yang tadi sabar menunggu di atas motorsikal sedikit mengerutkan dahi.

Walaupun agak perlahan, telinga saya dapat juga menangkap butir kata Mak Su mengira wang baki yang perlu dipulangkannya. Bermula dengan menggenapkan wang-wang kecil kepada ringgit yang terhampir lalu dihitung satu persatu untuk menggenapkannya kepada RM5. Wang yang digenapkan itulah yang dihulurkan kepada saya. Sambil tersenyum beliau bertanya saya sama ada wang yang dihulurkan itu cukup atau tidak. Akur dengan kecekapan Mak Su mencongak, saya menganggukkan sahaja.

Tiba-tiba saja saya teringat kepada arwah nenek saya (al-fatihah) yang lebih burumur daripada Mak Su (juga terkenal dengan nama yang sama). Pernah juga saya mendengar kaedah mengira yang sebegitu daripada mulutnya. Bukan sahaja pengiraan menambah dan menolak, malah pengiraan mendarab dan membahagi pun agak janggal pada telinga saya tetapi lebih efisien dan mudah. Tidak terlintas di fikiran saya ingin bertanya Mak Su tentang taraf pelajarannya dahulu tetapi arwah nenek saya tentunya tidak pernah bersekolah secara normal.

Dahulu saya hanya tersenyum apabila mendengar kaedah pengiraan yang sebegitu. Dalam tidak sedar, mereka (nenek saya, Mak Su dan warga yang seperti mereka) lebih kompeten daripada anak-anak kita dalam mengira malah mungkin lebih kompeten daripada kita sendiri yang belajar ke seluruh pelusuk dunia namun belum juga pandai ini.

Idiosinkratik dan Mental Arithmetik
Kaedah yang digunakan oleh Mak Su itu adalah sebahagian daripada kaedah mental arithmetik. Apa yang lebih menarik adalah Mak Su didapati memiliki keupayaan idiosinkratik. Idiosinkratik adalah kebolehan beradaptasi dan mencetuskan tindak balas unik apabila berhadapan dengan sesuatu rangsangan. Dalam bidang perubatan, idiosinkratik selalunya dikaitkan dengan tindak balas unik individu terhadap dadah. Dalam pendidikan pula istilah tersebut dipinjam untuk menerangkan ciri-ciri seseorang yang dapat mencipta sendiri kaedah penyelesaian dengan beradaptasi dengan masalah dalam situasi yang berbeza-beza.

Dalam kes ini Mak Su tidak menghafal atau melaksanakan kaedah pengiraan yang sama setiap masa tetapi kaedah pengiraannya berubah-ubah mengikut keperluan dan bertujuan memudahkan masalah yang dihadapi. Kadangkala Mak Su menggunakan kaedah counting on seperti yang saya ceritakan tadi. Kadangkala kaedah mengumpul (grouping) pula yang digunakan. Lebih mengkagumkan, kadangkala Mak Su menggunakan kaedah anggaran (estimation) terutama bagi pengiraan yang melibatkan penambahan berulang (pendaraban).

Anak-anak kita juga belajar estimation (anggaran) akan tetapi teknik penganggaran yangb  digunakan lebih bersifat akademik dan berasaskan formula semata-mata sehinggakan tidak dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Malah, untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan pun anak-anak kita 'menggagau'  seolah-olah berada dalam kegelapan. Kenapa? Silibus kita hanya mengajarkan menganggar untuk menggenapkan kepada nilai tempat yang terdekat sedangkan yang lebih penting adalah apa yang perlu dilakukan untuk menggenapkan. Sebagai contoh, perhatikan contoh dibawah.  


1263 x 14 = ? Anggarkan jawapannya.



Jawapan yang biasa diberikan adalah:
 1300
x 10 = 13000 ATAU 

1260 x 10 =12600  ATAU
Antara 13000(drpd 1300x10) hingga 26000 (drpd 1300x20) ATAU
Antara 12000(drpd 1200x10) hingga 26000 (drpd 1300x20)
iaitu mengikut kaedah estimation (pembundaran) yang diajarkan di sekolah (dengan membundar 1260 dan 14). Sedangkan jawapan yang lebih hampir adalah  
1250 x 15 = 18750 ATAU 1200 x 15 = 18000
iaitu dengan kaedah balanced round off (pembundaran adil)... Didapati jawapan sebenarnya adalah 17682. Bukankah jauh berbeza antara jawapan yang anak-anak kita dapati dengan yang sebenarnya? Bagi menerangkan idiosinkratik pula, lihatlah contoh di bawah.

14 + 19 = ?

Rata-rata anak-anak kita akan terus menambah secara formal iaitu menambahkan mengikut nilai tempatnya (9+4 dan kemudian 1+1). Individu yang idiosinkratik akan menggunakan kaedah yang lain. Antaranya adalah:-

1) 14 + 20 - 1
2) 15 + 20 - 2
3) 14 + 6 + 13
4) 14 + 16 + 3
5) 14 + 1 + 15 + 3
6) 14 + 14 + 2 + 3
  dan lain-lain lagi.

Individu yang sebeginilah yang dicerminkan oleh Mak Su. Individu yang sebegini jugalah yang akan mampu menghakmilikkan matematik iaitu menjadikan matematik sebagai kaedah menyelesaikan masalah kehidupan.

Wednesday, February 17, 2010

Sifir KilatS



Sejarah Sifir KilatS

Seperti guru-guru Matematik yang lain, saya juga sering menggunakan Petak-100 sebagai salah satu cara memantapkan kemahiran sifir murid melalui latih tubi... Namun begitu, setelah saya diperkenalkan kepada asas petak sifir ini oleh En. Johari Bin Ahmad, sahabat seperjuangan dalam Jawatankuasa Kajian Tindakan Negeri Selangor, saya cuba menggunakan kedua-dua petak sifir ini sebagai kaedah utama latihan sifir bagi anak-anak didik saya... Setelah meneliti asas-asas di sebalik penggunaan kedua-dua petak sifir ini, satu kaedah baru telah dirumuskan iaitu dengan menggunakan satu petak sifir sahaja... Sifir KilatS hanya menggunakan petak sifir yang ditunjukkan di sebelah kiri (S-1)...

Petak sifir yang ditunjukkan di sebelah kanan (S-2) tidak lagi digunakan... Secara tidak langsung, dua kebaikan dapat dicapai iaitu:
a) Hanya satu petak sifir digunakan dan ini lebih memudahkan...
b) Petak sifir S-1 lebih senang dihafal dan dibina daripada petak sifir S-2...

Kaedah Sifir KilatS

           Kaedah Sifir KilatS adalah berasaskan perkataan "KilatS" itu sendiri yang bermaksud "kilat berbentuk S" bagi memudahkan anak-anak mengingat kaedah sifir ini... Kaedah ini ditujukan kepada anak-anak yang lemah dalam kemahiran sifir... Ia bertujuan mempermudahkan anak-anak ini membina jadual sifir yang diperlukan... 

            Pernah dibangkitkan tentang kenapa tidak ditekankan pembelajaran konstruktif dengan menggalakkan mental calculation? Jawapannya adalah, pakar pendidikan matematik mendapati anak-anak yang berada dalam kalangan "below average" tidak dapat mengambil sepenuh kebaikan daripada kaedah tersebut kerana mereka tidak berupaya menghasilkan pemikiran idiosycratic dalam pembelajaran. Justeru pembelajaran bersifat tradisional perlu ditekankan kepada mereka... 

          Jika demikian, kenapa Sifir KilatS? Sifir KilatS diharapkan agar menjadi batu loncatan kepada anak-anak ini bagi menghafal sifir... Sifir KilatS juga membantu murid memahami asas konsep "partitioning" dalam mental multiplication... Demikian pula, diharapkan agar melalui pemahaman berkenaan konsep tersebut, murid akan memahiri mental multiplication... 

Penggunaan Petak Sifir
         Bagi memudahkan sesi demonstarasi dijalankan, guru disarankan agar menggunakan petak sifir yang diwarnakan... Sila lihat di sini bagi membaca blogpost saya berkaitan kepentingan warna... Petak sifir S-1 akan kelihatan seperti di bawah...

Petak sifir ini sebegini akan memudahkan pengajaran kaedah Sifir KilatS... Petak berwarna jingga (oren) adalah petak penanda bagi sifir-sifir ganjil kecuali sifir 5 manakala, petak-petak hijau adalah petak penanda bagi penanda sifir-sifir genap... Kenapa sifir 5 tidak ditekankan dalam Sifir KilatS? Ini adalah disebabkan sifir 5 adalah sifir yang mudah diingat oleh anak-anak terutama yang lemah dalam sifir... Secara ringkasnya, sifir 5 hanya susunan selang-seli 0 dan 5 dalam satu barisan bermula dengan 0...

 Pembinaan Jadual Sifir KilatS- sifir ganjil
            Jadual Sifir KilatS boleh dibina dengan memutarkan petak sifir ke kiri atau ke kanan... Contoh di bawah menunjukkan bagaimana petak sifir diputarkan ke kiri atau ke kanan daripada kedudukannya yang asal...
                                      90* ke kanan                  90* ke kiri               180* ke kiri / kanan 
 ** Maaf, saya tidak jumpa bagaimana hendak menggunakan 'superscript' untuk darjah maka saya menggunakan '*'...  

Untuk pengetahuan para pembaca, petak-petak sifir ini digunakan untuk menentukan digit sa (units @ ones) bagi setiap sifir yang akan dibina. Katakan kita ambil sifir 7. Bagi membina sifir 7, petak sifir perlu diputarkan 90* ke kiri seperti di sebelah. Lalu digit sa bagi sifir 7 dicatatkan mengikut arah anak panah... Jadi jujukan digit sa bagi sifir 7 adalah 7, 4, 1, 8, 5, 2, 9, 6 dan 3...   
          Manakala jika kita ingin membina sifir 3, petak sifir diputarkan 90* ke kanan seperti di sebelah. Lalu jujukan digit sa (unit @ ones) bagi sifir 3 adalah 3, 6, 9, 2, 5, 8, 1, 4 dan 7... Adalah penting untuk memahiri kaedah ini bagi sifir ganjil iaitu nombor yang mewakili sifir yang ingin dibina mestilah berada di petak (1,1) iaitu di baris pertama dan lajur pertama petak sifir...Demikian pula jika sifir-sifir ganjil yang lain ingin dibina (sudah tentu anda tidak ingin membina sifir 1 kan? Jadi sifir ganjil lain yang tidak ditunjukkan hanyalah sifir 9)...
Sesudah membina jujukan digit sa (ones), digit puluh (tens) akan ditentukan supaya jujukan nombor yang terhasil daripada gabungan digit sa dan puluh tersebut menjadi suatu jujukan nombor menaik iaitu 07, 14, 21, 28, 35, 42, 49, 56 dan 63... Pastikan anda memulakan digit puluh (tens) dengan sifar seperti yang ditunjukkan di sebelah... Oleh itu, jika sifir 3 dibina, jujukan tersebut akan menjadi 03, 06, 09, 12, 15, 18, 21, 24 dan 27... Kaedah ini dapat dilihat daripada rumusan oleh ramai guru pakar matematik. Umumnya, rahsia sebenar Sifir KilatS yang saya rumus ini adalah berada pada pembinaan sifir genap.

Pembinaan Jadual Sifir KilatS- sifir genap
          Pembinaan sifir genap juga menggunakan petak sifir yang sama dan teknik memutarkan petak sifir ke kiri dan kanan juga digunakan. Namun, terdapat perbezaan dalam menentukan petanda sifir dan jujukan digit sa-nya. Jujukan digit sa (units @ ones) ditentukan melalui gerakan 'kilat berbentuk S' (nama yang diberikan bagi kaedah sifir ini)... Kaedah menentukan digit puluh (tens) adalah sama seperti kaedah yang digunakan dalam menentukan jujukan sifir ganjil... Oleh itu, bagi sifir 2 di sebelah, jujukan digit sa-nya adalah 2, 4, 6 dan 8... Sesudah itu masukkan angka sifar dan ulangi jujukan tadi. maka jujukan itu menjadi 2, 4, 6, 8, 0, 2, 4, 6, 8... Maka jujukan sifir 2 (setelah dimasukkan digit puluh) adalah 02, 04, 06, 08, 10, 12, 14, 16 dan 18... Perhatikan bahawa petanda sifir bagi sifir genap adalah petak (1,2) iaitu di baris pertama dan lajur kedua petak sifir... Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Ibnu Zahr di laman Facebook http://www.facebook.com/CikguSam.

**p/s: Kaedah Sifir KilatS (jadual sifir genap) ini adalah ciptaan Ibnu Zahr. Maka atas nama etika profesional, kejujuran dan tanggungjawab, para pembaca haruslah tidak mengulang cetak risalah ini selain mendapat kebenaran daripada Ibnu Zahr melalui shamsukama.mohdzahri@yahoo.com atau http://www.facebook.com/CikguSam.. Sebarang penyiaran dan penggunaan semula kaedah ini haruslah menggunakan nama asalnya dan menyertakan nama rujukan iaitu Ibnu Zahr (sepertimana yang saya lakukan menyebutkan nama rujukan bagi idea asasnya)**

Wednesday, February 10, 2010

Durjana

I
Gelodak pekat…. hadir meyirat kelam
nan kelat memekat….
Busuk….. memburuk
Berbaur hanyir, nyilu memualkan
Menjerut jiwa dan kewarasan
Terburai… dak terpandu dek keinsanan

II
Apa dah jadi padanya?
Pada siapa?…. Apa yang kau repekkan?
Sekeping jiwa … hatimu itu...
Hati segarmu itu…
Segar? Entah… Pastikah ia segar?
Pastikah?… atau kotor penuh nanah dan darah menjijikkan…
Memualkan… Menghanyirkan…
Busuk memekung jiwa dan ruh nan meronta
Merintih kasih dan cahaya …

Bencana apakah  ini…?
Ini bukan bencana… ini budaya…
Budaya raja bebas…  memacu jiwa kosong aku ...
Ya… Durjana itulah
Kedurjanaan itulah yang memijak-mijak engkau
Persetan dengan si durjana itu…
Dia hina… dia nafsu buruk…
Nafsu gelojak kehinaan …
Membatasi hudud Ilahi

III
Undurkan telapak durjanamu wahai insani
Kutiplah cebisan imanmu…
Untung apa dengan dia?…
Siapa ?
Nafsumu itu… durjana yang membusuk dijiwamu…
Melarik nanah bergelumang dosa…
Merajakan syaitan… Iblis laknatullah…

Bersihkanlah jiwamu… hatimu itu…
Agar bersih memutih dengan nur
Hati…? Apa itu…? Hati siapa… Nur apa!!!!?
Hati itulah... hatimu yang satu itu..!!
Anugerah ALLAH…
Tuhanmu Yang Agung
Masih ingatkah engkau padaNya wahai insani?

Bertaubatlah engkau…. insani yang lalai
Dia Tuhanmu… Rajamu…
Raupi ubat menyembuh nanah… Nanah itu…
Yang membusuk dan memburuk dijiwamu itu.
Kembalilah ia kepada fitrahnya yang suci…
Hati ini ?… Hati ini milik Dia?… Tuhanku itu?
ALLAH… Wahai Tuhanku… Ampunilah aku...

Ibnu Zahr
9 Disember 2000, RK